Darul Hanan ialah sebuah badan kebajikan yang cukup unik. Penubuhan Persatuan ini pada tahun 1992 adalah berdasarkan kepada rasa tanggungjawab YBhg Puan Sri Datin Noorzilah, selaku pengasas dan Pengerusi, Darul Hanan serta Ahli Jawatankuasa beliau untuk merapatkan kasih sayang sesama mereka yang kurang bernasib baik serta membela nasib anak-anak yang kehilangan ibubapa.
Hasil daripada usaha para keahlian, persatuan berjaya mendirikan rumah anak yatim dan miskin yang dikenali sebagai Darul Hanan di atas sebidang tanah seluas 4 ekar berhampiran Masjid Jamek Pasir Gudang yang telah diwakaf. Bangunan pertama Darul Hanan mula dibina pada 1992 dan menerima kemasukan kumpulan pertama seramai 31 orang anak perempuan pada 10 Januari 1993.
Harapannya adalah untuk menjadikan Darul Hanan sebagai tempat berteduh yang memberi sinar kepada anak-anak yang memerlukannya dan memastikan mereka dapat memperolehi kehidupan yang lebih sempurna untuk masa depan serta menerapkan nilai-nilai kekeluargaan yang positif sesama mereka. Kemudian, pada 21 November 1995, Darul Hanan mula menerima kemasukan kumpulan anak lelaki seramai 31 orang. Sehingga 2010, Darul Hanan telah memberi manfaat kepada hampir 353 orang anak yang terdiri daripada 203 perempuan dan 154 lelaki. Pada 2010, jumlah anak yatim dan miskin yang mendiami Darul Hanan adalah seramai 64 orang (26 orang lelaki dan 38 orang perempuan).
Di antara objektif penubuhan Darul Hanan adalah untuk menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat khususnya anak-anak yatim dan miskin yang belum mendapat perhatian dan perlindungan, memberi penekanan ke atas pembelajaran mereka bagi mencapai taraf kehidupan yang lebih baik serta menerapkan nilai-nilai kekeluargaan yang positif bagi membendung masalah sosial. Dalam hal ini, Darul Hanan turut bekerjasama dengan persatuan, pertubuhan dan badan-badan lain yang mempunyai tujuan yang sama.
1. Dibina atas sebidang tanah seluas 4 ekar dikurniakan oleh Kerajaan Negeri atas nama PKENJ dengan syarat khas digunakan untuk Tapak Bangunan Asrama anak-anak Yatim dan lain-lain bangunan yang berkaitan dengannya.
2. Berdasarkan kepada tujuan dan harapan penubuhan Darul Hanan "Rumah kasih Sayang" serta untuk menerapkan ciri-ciri Kekeluargaan bagi mengelakkan masalah sosial kemudian hari, maka pembinaannya dibuat atas pemilihan konsep Rumah Banglo dua tingkat Khas setiap satu untuk anak Perempuan dan Anak Lelaki.
3. Kos pembinaan sebuah rumah sahaja adalah sebanyak RM 575,000. Bagi membiayai kos pembinaan ini, Pertubuhan /Ahli telah melaksanakan pelbagai projek untuk pengisian tabung khas dengan mengadakan jualan malam amal, jualan barangan terpakai, derma & sumbangan syarikat di kawasan Pasir Gudang dan Syarikat dalam kumpulan JCorp.
4. Kini Persatuan Kebajikan Darul Hanan telah megorak langkah dengan membina Dewan Serbaguna "Dewan Ajwa" untuk kemudahan pada penghuninya dengan hasil daripada Jualan Amal Kurma Ramadhan.



